Lawatan sambil belajar

Panitia Sains SK Seri Bidor telah mengadakan lawatan sambil belajar pada 28 mei 2009 ke Pusat Sains Negara dan Petrosains di KLCC. Lawatan ini melibatkan lebih kurang 40 murid tahun 5 dengan diiringi oleh 4 orang guru.

Perjalanan lawatan bermula jam 6.30 pagi dari sekolah dan tiba jam 8.30 pagi di Pusat Sains Negara. Program disana bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Selepas itu bertolak pula ke Petrosains. Setelah selesai makan tengahari, program bermula jam 3.30 hingga 5.30 petang. Sebaik tamat lawatan di Petrosains rombongan bertolak pulang jam 6.00 petang dan singgah untuk solat dan minum di tempat rehat dan rawat ( R&R) Sungai Buluh. Rombongan selamat tiba disekolah sekitar jam 9.30 malam dengan disambut oleh ibu bapa murid yang datang untuk menjemput anak masing - masing.

Diharap dengan adanya lawatan sambil belajar ini memberi pendedahan tambahan kepada murid selain dari apa yang telah dipelajari di bilik darjah.

Gambar-gambar semasa lawatan di SINI..

Khemah Ibadah

Panitia Pendidikan Islam SK Seri Bidor telah menganjurkan program khemah ibadah bagi murid tahun 6 pada 22 Mei 2009. Program bermula pada jam 4.45 petang dimulai dengan solat Asar berjemaah. Kemudian diadakan sedikit riadah iaitu permainan mencari harta karun dengan pengisian lebih kepada PAFA dan juga lain-lain. Pada sebelah malamnya pula, bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat sunat taubat, solat hajat dan bacaan Yaasin.Selepas solat Isyak diadakan ceramah motivasi keibubapaan yang disampaikan oleh Tuan haji Ali Bin Abdul Aziz, mantan pensyarah Institut Perguruan Ipoh. Program kali ini agak berbeza kerana murid tidak bermalam untuk qiamullail disekolah tetapi pulang bersama ibu bapa selepas tamat ceramah dan jamuan ringan. InsyaAllah program Qiamullail akan diadakan selepas ini pada program khemah ibadah kali kedua.

Taklimat disampaikan oleh Ustaz Safri

Antara tugasan dalam mencari harta karun..tayamum..

Makan malam

Azan dilaungkan

Ceramah motivasi keibubapaan

Lagi gambar di ruangan 'gambar' diatas..


Sambutan Hari Guru

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah diadakan secara sederhana pada hari Isnin 18 Mei 2009. Beberapa keping gambar sebagai gambaran sambutan kali ini.Selamat Hari Guru..!

A. Bacaan perutusan Menteri Pelajaran Malaysia oleh Cikgu Radzi
B. Bacaan perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia oleh Cikgu Hamid
C. Bacaan Ikrar guru diketuai oleh Cikgu Zamiran.
D. Nyanyian lagu 'Guru Malaysia' oleg semua guru.

A. Ucapan Ketua Murid oleh adik Mohd Iqzhar Bin Lokman.
B. Antara persembahan murid.
C. Penyampaian hadiah pertandingan membuat kad ucapan Hari Guru.
D. Penyampaian cenderahati kepada guru.

Selain dari sambutan secara sederhana yang dilakukan pada Hari Isnin, telah diadakan juga sambutan Hari Keluarga sempena Hari Guru SK Seri Bidor bertempat di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah. Gambar sekitar sambutan boleh di lihat melalui link 'gambar' diatas.

SELAMAT HARI GURU



GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Berburu kepadang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi
(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Kad ucapan hari guru

Sempena menyambut hari guru yang bakal tiba, Panitia seni visual ( psv) SK Seri Bidor telah mengadakan pertandingan membuat kad ucapan hari guru melibat semua murid. Pertandingan ini dibahagi kepada dua kategori iaitu tahap satu dan dua. Selain untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada guru, ia juga memperlihatkan kekreatifan murid -murid itu sendiri dengan terhasilnya kad yang berbagai bentuk dan lukisan serta ungkapan yang menarik. Pihak panitia psv sebagai penganjur hanya menyediakan kertas lukisan sahaja manakala alatan selebihnya bergantung kepada kehendak murid itu sendiri.

Tekun menghasilkan karya

Adik Aimi Aqilah dengan hasil ciptaannya

Antara hasil murid yang kreatif dan menarik

Tahniah!

Tahniah kepada wakil dari SK Seri Bidor yang telah menjadi Johan dalam pertandingan Kuiz Kesihatan Peringkat Daerah batang Padang. Kuiz yang berlansung pada 25 April 2009 itu berlansung di SK Perlok, Sungkai. Tahniah dan teruskan kecemerlangan diperingkat seterusnya..!


JOHAN KESELURUHAN

Chong Yi Hui, Fatin Aliah Sazali, Aima Nabila Bt Azhar & Syed Muhammad Arif B. Syed Azhar.


JOHAN KATEGORI TULISAN & LISAN
Adik fatin Aliah Bt Sazali

Makmal komputer SK Seri Bidor boleh beroperasi sepenuhnya bermula awal tahun 2009 ini setelah proses pembinaan dan sebagainya bermula akhir tahun 2007. Diharap dengan adanya makmal komputer ini akan meningkatkan lagi kemahiran ICT bagi guru dan murid serta menambah keberkesanan dalam proses P & P. Makmal ini diuruskan oleh Cikgu Zamiran sebagai penyelaras.
Pandangan dari luar makmal
Dilengkapi 21 buah komputer termasuk untuk guru

Makmal komputer ini sebenarnya sudah digunakan sebelum dipasang komputer lagi dengan berbagai aktiviti yang memerlukan ruang yang luas seperti solat hajat, bacaan Yasin, majlis khatam Quran dan Qiamullail. Kini ia boleh digunakan seperti tujuan asalnya dan tahniah kepada Seri Bidor yang akhirnya mempunyai makmal komputer seperti sekolah- sekolah lain.

;;