Umat Islam seluruh dunia telah sama-sama menyambut kemuliaan Aidil Adha baru-baru ini, sama ada yang sedang menunaikan fardu hajii di tanah-tanah suci, ataupun di tanah air masing-masing, semangat takbir yang dilaungkan pada 10 13 Zulhijjah setiap tahun, mengandungi pengajaran yang amat besar dan meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari umat Islam.






Ini kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan, bertujuan untuk membesarkan Allah SWT di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan laungan takbir pada malam hari raya.

Ia adalah untuk mengisytihar, bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang tidak pernah sama memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad untuk memenangkannya dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang kecil jumlahnya.

Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim yang beriman bahawa Allah adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan kefahaman bahawa Allah adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah ini :

1- Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, kita juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada undang-undang-Nya.

2- Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.

3- Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.

4- Kita hanya tunduk kepada Allah dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena mengena dengan Islam.

5- Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.

6- Pasrah hanya kepada Allah dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan manusia yang serba kekurangan.

7- Menjadikan Allah matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.

8- Meyakini bahawa segala bencana yang menimpa adalah atas kesilapan kita sendiri dan termasuk dalam senarai qada dan qadar Allah.

9- Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah.

10- Takut kepada azab api neraka.

11- Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari sudut perbuatan, tingkah laku (body language), role model, percakapan dan lain-lain.

12- Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.

13- Menjadikan rumah Allah sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.

14- Mensuci dan membesarkan Allah pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.

15- Meyakini bahawa Allah tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.

16- Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.

Sementara maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail.

Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah SWT, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.

Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wuduk serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah.

Begitulah dengan ketegasn Allah SWT yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud : Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.

Jelas dari apa yang ditegaskan Allah dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertakwa kepada Allah?.

Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.

Tetapi apakah sebenarnya takwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?

Takwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib ialah : Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah.

Takwa juga menurut sebahagian ulama ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah SWT.

Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.

Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan :

1- Tidak memakai seluar pendek.

2- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.

3- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.

4- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher binatang sembelihan.

5- Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bolasepak yang beragama Kristian dan sebagainya.

Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi ismail sebagai iktibar berguna meniti jalan takwa kepada Allah.

Tulisan asal oleh :
Ustaz Zainudin Hashim
Thu | Dec 18, 08 | 9:48:35 am

TAKZIAH...!

Bulan Disember yang merupakan bulan terakhir dalam kalendar masihi pada tahun 2008 ini agak menjadi bulan yang gerhana. Ini kerana banyak peristiwa yang tidak diingini berlaku. Tetapi, sebagai umat Islam kita mesti meyakini bahawa semua yang terjadi itu ada sebab musabab dan hikmahnya. Cuma mungkin kita tidak mengetahui dengan pancaindera yang lima ini secara nyata.

'MUAR: Sembilan orang terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki terbunuh, manakala 19 orang lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbalik di Kilometer 146, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tangkak di sini awal pagi ini...'

'KUALA LUMPUR: Seorang bapa hanya mampu menyuruh anaknya mengucap banyak-banyak sebaik mendengar jeritan terakhir anak lelakinya ketika kediaman mereka di Bukit Antarabangsa dilanda tanah runtuh jam 3.30 awal pagi semalam, sebelum remaja itu ditemui mati dihempap konkrit kira-kira tiga jam kemudian...'

'SEPANG: Mayat mendiang Hemalatha Kassipilay, 51, rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian serangan pengganas di Mumbai, India Rabu lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi semalam...'

'PASIR MAS: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, di sini, dipercayai menjadi mangsa banjir kedua di Kelantan selepas dikhuatiri lemas ketika bermain air seorang diri di Sungai Golok berhampiran rumahnya di Kampung Kubang Pak Itam, di sini, kira-kira jam 2 petang, semalam...'

Diatas adalah beberapa petikan dari sebuah akhbar harian yang memaparkan beberapa peristiwa yang menyayat hati yang berlaku dinegara kita atau yang melibatkan rakyat negara kita. Diharap kita semua dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa ini dan mengambil langkah sewajarnya agar ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan. Takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat. Kepada mangsa yang beragama Islam..Al-Fatihah...!

;;